Quantcast
Channel: Shima Rostam Book & Sandwich
Viewing all articles
Browse latest Browse all 366

Si Adik Manja dengan Menantu pilihan Abah (SAM) Prolog

$
0
0
Assalam.... 
Hari ini bermula novel bersiri Si Adik Manja dengan Menantu Pilihan Abah.

Hisyam leka memandang Nur membuat kerja sekolahnya. Esok pagi dia akan berangkat ke Kaherah, Mesir melanjutkan pelajaran. Wajah comel dan telatah manja Nur akan dirinduinya. Mereka tidak pernah berjauhan. Nur sentiasa berada di sampingnya, apatah lagi dengan sikapnya suka melayan karenah Nur. Wajah comel itu ditatap tanpa jemu. Berat hatinya mahu meninggalkan kampung halaman, lebih-lebih lagi berjauhan dengan adik kesayangannya ini. 

Kasih sayangnya melaut. Nur ditatang penuh kasih sejak dari bayi lagi. Melihat wajah mulus Nur, dia jatuh kasih. Mungkin ketika itu dia masih belum mempunyai adik, jadi anak bongsu Pak Teh inilah dianggap adiknya. Apatah lagi dia berkawan baik dengan Thaqif Iman a.k.a angah. Ikatan kasih ini semakin hari semakin bertapak kukuh di dalam hatinya. Sukar untuk dijelaskan, sayang terasa melekat di hati. Sukar untuk dibayangkan hidupnya tanpa Nur di sisi. 

Hatinya berat untuk melangkah pergi, namun demi masa depan dia perlu pergi. Perpisahan ini perlu demi masa depannya. Hisyam kembali memandang Nur yang leka menyiapkan kerja sekolahnya. Ada gusar di hati sukar diluahkan. Ada rasa takut mencengkam jiwanya. Perpisahan yang memakan masa lama, pasti akan mengubah segalanya. Kemungkinan Nur akan melupakan segala kenangan indah mereka tetap ada. Jarak masa dan tempat akan memisahkan mereka, rela dalam terpaksa, dia tahu sekembalinya nanti, semuanya akan berubah. Tanpa sedar sebuah keluhan keluar dari bibirnya. 

Menatap wajah comel di hadapannya ini, hatinya terus diburu kebimbangan. Kemesraan ini pasti akan pudar ditelan masa. Hisyam juga tahu dia tidak mampu menghalangnya seandainya Nur melupakannya suatu hari nanti. Nur yang baru berusia sebelas tahun dan tujuh tahun akan datang Nur pasti menjadi seorang gadis manis yang menawan. Hisyam yakin dia akan melupainya.

"Adik aku tu budak lagi, Syam. Tak tahu apa-apa pun lagi. Kau tenung dia lama-lama pun tak guna juga," sergah Angah. 

Hisyam tersentak, serta merta cuping telinganya memerah. Thaqif galak ketawa. Nur angkat muka memandang Angahnya yang sedang ketawa. Dicebirkan bibirnya. Dia tiada mood nak layan perangai lanun Angah. Nanti hatinya juga yang sakit kerana disakat. Dia tahu sangat, hobi angah adalah menyakat dan membulinya. Selagi dia tidak menangis selagi itulah angah akan mengusiknya.

“Apa angah ni, ketawa macam pontianak sesat di siang hari," bebel bibir kecil berwarna merah jambu itu. 

Thaqif masih tidak berhenti ketawa malah, dia siap menepuk bahu Hisyam lagi. Sebagaimana Nur rapat dengan Hisyam, begitu juga rapatnya Thaqif dengan Hisyam. Mereka sebaya dan berkawan baik rapat. Hisyam jatuh sayang dengan Nur pun disebabkan dia selalu ke rumah Pak Teh berjumpa dengan Thaqif. 

Mendengar bebelan adiknya, semakin panjang tawa Thaqif. Tanpa sedar bibir Hisyam juga tersungging sengih. Tercuit mendengar kata-kata spontan Nur. Hati manalah yang tidak akan merindui bidadari kecil ini. Kata-katanya yang bersahaja pun sudah mampu mengundang senyum di bibirnya. Belum lagi dipandang wajah comel mulus ini, berkali-kali dipandang pun takkan jemu. Geram nak cubit dan cium pipi mulus kemerahan itu.

"Adik tahu tak dik... Lepas ni selalulah bulu mata adik luruh sehingga tak ada bulu mata dah. Siaplah adik nanti dah tak comel. Nak buka mata lama-lama pun tak boleh sebab tak ada bulu mata," usik Thaqif dengan suara tertahan-tahan menahan tawa dari terletus keluar.

Spontan Hisyam menumbuk bahu Thaqif. 

"Kau ni tak habis-habis nak usik adik kau. Tak reti nak berbaik-baik," tegur Hisyam, geram. 

Dia faham maksud tersirat kata-kata itu. Orang tua selalu cakap, jika bulu mata luruh itu maknanya ada orang rindu. Jika hendak tahu siapa yang rindu, simpan bulu mata tersebut bawah bantal. Nanti dalam mimpi orang yang merindui akan muncul. Hendak tergelak pun ada bila dia mendengarnya. Macam-macam petua orang tua-tua ni. Kadang kala ada logiknya juga, tapi banyak juga yang tak masuk dek akal. 

"Tak jadi apa pun. Paling teruk dia menangis dan merajuk dengan aku je. Nanti kau pujuk, sekejap je dah berhenti menangis," sengih Thaqif.

Dia tahu hati Hisyam sedang rawan. Berat hati mahu meninggalkan adik kesayangannya. Sebagaimana sayangnya dia pada Nur, sayang lagi Hisyam pada adik bongsunya itu. 

Nur menjeling geram. Marah apabila tumpuannya pada kerja sekolah terganggu. 

"Angah.. pergi main jauh-jauh boleh tak. Bisinglah!" Marah Nur. Thaqif makin galak ketawa. Hisyam pula mengulum senyum. Dia tidak mahu Nur bertambah marah. Walaupun begitu, hatinya turut tercuit. 

Wajah polos Nur ditatap lama. Seakan ingin dipotretkan di dalam hati agar wajah comel ini kekal di dalamnya. Dia tahu, hatinya akan memendam rindu akibat perpisahan ini. 

‘Lima tahun akan datang, abang Syam akan merindui gelak tawa Nur. Abang Syam akan merindui telatah manja Nur. Entah ia, entahkan tidak, Nur akan mengingati dan merindui Abang Syam pabila jauh di mata nanti,' desis hati kecil Hisyam.

Tanpa mempedulikan mereka berdua, Nur terus menumpukan perhatian pada kerja sekolahnya. Dia mahu menunjukkan karangan bahasa melayu bertajuk abang kesayangan saya kepada abang Syamnya nanti. Jadi dia perlu membuatnya cepat-cepat. Esok abang Syam akan pergi jauh meninggalkan dirinya. Dia mahu menunjukkan hasil tulisannya pada abang Syam. Dia nak abang Syam tahu yang abang Syam adalah abang yang terbaik pernah dia ada. Karangan ini didedikasikan sepenuhnya kepada abang Syam, bukan angah yang menyampah itu. Jika sehari tidak membuatnya menangis, bukan angah namanya. Dalam usaha memikirkan idea untuk karangannya, Nur sempat lagi mencemuh angahnya.

"Abang Syam ni kenapa. Sekejap termenung sekejap tengok muka adik macam nak marah."

Hisyam tersentak buat sekian kalinya. Ketawa Thaqif masih lagi kedengaran walaupun dia telah melangkah ke persisiran pantai untuk menyertai kawan-kawan sekampung bermain bola sepak.

"Tak ada apalah. Abang sedih nak tinggalkan adik nanti," jawab Hisyam.

Nur mencebik. 

"Alaa.. bila abang dah tengok piramid tu mesti dah lupakan adik di sini."

Hisyam tersenyum. Mana mungkin dia melupakan si comel ini. Hatinya telah jatuh sayang pada wajah comel di hadapannya. Teringat semasa Nur berusia 2 tahun, dialah yang rajin melayan dan menjaga Nur walaupun ketika itu Nisa telah lahir ke dunia. Nisa tidak secomel Nur. Jadi dialah yang mengelek Nur ke sana ke mari sehinggakan terpaksa berebut dengan dua orang kakak Nur untuk menjaganya.

Dipandang lagi wajah Nur yang leka memandangnya sambil menghulur buku latihannya untuk disemak.

"Laa kenapa tak cakap. Hulur je mana abang Syam perasan."

Nur mencebik. Abang Syam ni kepala tak berapa nak betul agaknya hari ini. Tadi bukankah dia dah tengok orang hulurkan buku latihan ni.

"Abang Syam tu yang berkhayal teringatkan awek dia, marahkan adik pulak," omel Nur. Mana mungkin dia marahkan abang Syamnya. Lepas ni kena tinggal, jadi tak naklah gaduh-gaduh dengan abang Syam.

"Abang Syam tegur je, mana ada marah," balas Hisyam lembut. 

Nur menjelir lidahnya sambil menjulingkan mata. Spontan Hisyam menjentik lidahnya.

"Aduh.. sakitlah," bentak Nur. Ditekup mulutnya dengan kedua belah telapak tangan. Matanya berair. Dia memang seorang yang cepat perasa. Lebih-lebih lagi apabila dimarahi oleh Abang Hisyam. Semenjak dia tahu abang Hisyam akan meninggalkannya, hatinya mudah tersentuh. Dia takut sebenarnya abang Hisyam akan melupainya.

Hisyam menarik tangan Nur agar merapatinya.

"Sakit lagi?" Diusap kepala Nur perlahan. Nur tunduk. Tidak sanggup bertentang mata dengan Abang Syam kerana dia tahu, dia akan tertewas. Air matanya akan mengalir laju menuruni pipi mulusnya.

"Abang Syam minta maaf. Tapi...." Hisyam terhenti seketika. Nur memanggung kepalanya ingin tahu.

"Tak elok jelir lidah macam tu. Tak comel dah adik abang ni."

Nur menekur. 

"Okey-okey, abang Syam minta maaf. Karangan yang adik buat ni, baguslah. Menarik cerita dia. Sayang cerita pasal abang Syam kan? Abang Syam yang jadi kesayangan adikkan?" pujuk Hisham.

Nur masih lagi memaku pandangannya ke bawah. Sesekali tangan kecilnya menyapu air mata yang gugur. Sedih hatinya apabila dimarahi. Lebih-lebih lagi abang Hisyam akan pergi pagi esok. Okeh, sebenarnya bukanlah sedih sangat kena marah tapi sedih sebab kena tinggal nanti. 

"Sayang adik abang Syam ni. Sorry.. abang tak niat pun nak marahkan sayang. Abang tegur je sebab sebagai perempuan, menjelir lidah ni tak manis. Nasib baik adik jelir kat abang. Jika jelir kat orang lain, confirm kena cium nanti. Ke adik nak abang Syam cium?" Pujuk Hisyam lagi dalam nada mengusik.

Pantas Nur angkat kepalanya dan menggeleng. Sebenarnya, hatinya sedih kerana bakal berpisah dengan abang Hisyam nanti. Siapa yang akan menemani dan mengajarnya membuat kerja sekolah nanti. Angah? Jangan haraplah, kaki usik dan kaki buli. Dia pun tak nak angah yang ajarkan. Kak Long dan Kak Chik pula bukannya ada di sini. Diorang jauh, tinggal di asrama, cuti sekolah baru balik.

*****

Malam terakhir Hisyam menjadi imam di surau kampungnya. Berat hatinya meninggalkan kampung halaman walaupun inilah impiannya selama ini.. Dia akan merindui kedamaian dan ketenangan setiap kali selesai mengimamkan solat fardhu. Dia akan merindui keramahan dan kemesraan orang kampung yang telah dianggap sebagai sebahagian daripada ahli keluarganya. Namun perjuangan menuntut ilmu perlu diteruskan. Cabaran berpisah buat seketika ini harus ditelan walaupun hatinya merusuh. Pengorbanan ini perlu demi masa depan. Terpandang wajah Pak Teh yang mahu beransur pulang mengingatkannya kepada adik Nurnya. 

Dia perlu meluahkannya sebelum berangkat pergi. Pak Teh perlu tahu perasaannya terhadap Nur. Jadi dia segera mendekati Pak Teh yang sedang menyauk seliparnya.

"Pak Teh... Boleh kita bercakap sekejap?" Sapa Hisyam.

Pak Teh senyum dan angguk. Mereka berdua berjalan beriringan menuju ke rumah masing-masing. Rumah mereka berdekatan dan hanya selang beberapa buah rumah sahaja.

"Macam mana persiapan kamu? Semua barang nak bawa esok dah siap kemas ke?"

“Alhamdulillah... Semua dah kemas, cuma tinggal bawa diri je."

"Baguslah. Belajar rajin-rajin. Selalu hantar berita ke kampung. Sentiasa beringat-ingat dan berwaspada. Tempat orang ni tak macam tempat kita. Budayanya lain. Pandai-pandailah kamu menyesuaikan diri nanti," pesan Pak Teh.

Hisyam angguk.

“In Shaa Allah Pak Teh, nasihat Pak Teh ini akan sentiasa tersemat dalam hati saya.”

“Erk... Pak Teh sebenarnya saya ada benda nak cakap sikit.”

Pak teh berpaling melihat Hisyam seketika sebelum memandang ke hadapan kembali. Mereka ditegur oleh beberapa orang kampung yang berselisih jalan dengan mereka. Hisyam dan Pak Teh mengangkat tangan dan berbalas teguran dengan mereka. Beginilah adat hidup di kampung saling tegur menegur dan hormat menghormati. 

Sebagai salah seorang orang yang paling awal menduduki kampung ini, Pak Teh sentiasa dihormati. Pendapatnya diutamakan dalam hal-hal yang berkaitan dengan kepentingan kampung mereka walaupun ayah Hisyam yang menjadi ketuanya. Dan selalu juga Pak Hassan meminta pendapat Pak Teh berkenaan dengan kebajikan kampung mereka. 

“Apa dia Syam, cakaplah.”

Hisyam menarik nafas panjang seketika sebelum membuka mulut. Perkara ini telah difikirkan sedalam-dalamnya. Bukan untuk sekarang, tetapi untuk masa depan. 

“Saya harap Pak Teh tak marah. Saya dah fikirkan sedalam-dalamnya mengenai perkara ini. Saya juga sudah buat istikharah.”

“Jika benda baik, buat apa kamu nak takut aku marah, Syam. Jika benda buruk sudah tentu aku marah. Cuba cerita apa hal sebenarnya.”

Hisyam senyum, kemudian dia terus bercerita tentang isi hatinya. Anak jantan perlu berani berdepan dan bertindak mengikut kata hati yang dirasakan betul. 

“In Shaa Allah... Pak Teh tak ada halangan. Kamu cakap pun tentang masa depan. Perancangan masa depan. Tapi kita kena ingat, sebaik-baik perancangan kita, baik lagi perancangan Allah taala. Jadi, sentiasa berdoalah agar apa yang kamu katakan tadi menjadi realiti. Pak Teh tak ada halangan.....” Pak teh menarik nafas sebelum menyambung kata.

“Tapi... ada syaratnya...” 

Hisyam terkesima.. 







Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. 
Jadi bacalah perkara yang bermanfaat.
 Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama.
 Hidup baik-baik. 
Islam itu Indah.
 Membaca jambatan Ilmu.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 366

Trending Articles