Bumi anbiya akan ditinggalkan. Tujuh tahun berkelana di sini, matlamat utamanya menuntut ilmu telah pun dicapai dalam masa lima tahun. Dua tahun pula dihabiskan dengan menimba pengalaman sebagai muwatif di Kota Mekah al-mukkaramah. Selama tujuh tahun di sini tidak pernah sekali pun dia pulang. Masa yang ada dimanfaatkan sepenuhnya agar terisi ilmu dan pengalaman di dada. Hasrat di hati ingin terus berkelana di sini lagi, tapi mimpi yang selalu hadir sejak kebelakangan ini seolah-olah satu petunjuk agar dia kembali ke sisi keluarga.
Hisyam menghela nafas. Sesekali ada rasa rindu singgah di hatinya. Tujuh tahun masa menjarakkan mereka. Wajah comel Si adik manja yang sentiasa dikeleknya tujuh tahun lepas mengggamitnya. Rindu menggebu di hati. Jarak masa telah memisahkan mereka, namun tidak mampu memadamkan memori indahnya. Hisyam mencongak di dalam hati.
'Tujuh tahun telah berlalu. Nur sudah berusia lapan belas tahun. Sudah menjadi seorang gadis manis pastinya,’ tanpa sedar bibir Hisyam melirik senyum. Rentak hati berubah irama.
Cerita tentang Nur dikutip lewat email yang diterima daripada Nisa. Sedikit sebanyak terubat rindunya. Sejak kecil dia tidak nafikan Nur seorang yang bijak dalam pelajarannya. Jadi dia tidak hairan Nur dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat Matrikulasi. Dia cemerlang di dalam SPM lepas, cuma hati tertanya-tanya kenapa Nur memilih untuk ke Matrikulasi sedangkan dengan keputusan cemerlang itu dia pasti dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Matanya dipejam seketika, cuba menggali memorinya berkenaan dengan Nur. Dia cuba membayangkan wajah Nur versi dewasa. Pastinya cantik. Hati Hisyam terdetik kesal. Jika dia tidak jual mahal, pastinya sekeping gambar Nur dapat ditatap. Namun hatinya degil tidak mahu melihat gambar yang diemel oleh Nisa. Sebetulnya dia tidak bersedia. Kasihnya tetap ada. Sayangnya juga melaut. Cinta? Mungkin itu yang ditakuti buat ketika ini. Cinta mampu mengubah seseorang. Tidak mustahil cinta akan mengubah dirinya. Itulah yang Hisyam elakkan ketika ini. Dia tidak mahu hatinya terdera lagi. Cukuplah rindu yang ditanggung selama ini. Dia mahu melihat dengan matanya sendiri Nur versi gadis. Jadi biarlah dia mengingati Nur versi kanak-kanak comel dulu. Sebab dia yakin, Nur pasti membesar menjadi seorang gadis manis yang manja dan cantik.
Dia larut di dalam kenangannya bersama Nur, Si adik manja. Dia dan Nur mempunyai ikatan hati yang istimewa. Entah mengapa sejak dia terpandangkan wajah comel Nur yang berusia tiga bulan, hatinya terpaut kasih. Jadi setiap kali mempunyai kesempatan, digunakan sebaiknya bermain dengan Nur. Mereka serasi bersama dan mereka sentiasa menghabiskan masa bersama. Masanya dengan Nur lebih banyak dari masanya bersama adik-adiknya sendiri.
Setelah melanjutkan pelajaran, dia diserang demam rindu. Hampir-hampir saja dia mengalah dengan hatinya dan pulang ke kampung. Namun, dikuatkan semangat. Janji perlu dipegang. Amanah seorang bapa perlu ditunaikan. Jadi dikuatkan semangat, dia bangkit menentang rasa yang menggunung di hati. Demi masa depan. Demi kasihnya, dia terus berjuang menimba ilmu di sini.
Ralat dan terkilan. Ada rasa sukar dijelaskan. Namun Nur sentiasa ada di dalam setiap doanya. Kesejahteraan Nur selalu didoakan. Setiap kali rindu meresap di hatinya, dia bermunajat kepada Allah taala. Berserah diri kepada DIA agar hatinya redha dengan apa yang telah ditakdirkan untuknya
Diri Hisyam jauh terbang ke dalam kenangan silam.
Wajah masam Nur apabila tumpuannya membuat kerja sekolah diganggu. Setiap petang mereka akan menghabiskan masa bersama. Dia akan menemani Nur membuat kerja sekolah. Kadang kala Thaqif datang mengacau adiknya.
"Abang Syam ni dah sewel agaknya, senyum sorang. Eeii... Tak nak kawan dengan abang Syam lagi"Nur merajuk dengannya apabila dia tidak dapat menahan gelak. Geli hati melihat Thaqif lari lintang pukang dikejar oleh Nur dengan sebatang ranting. Boleh tahan lajunya Nur berlari ketika itu.
'Nur... Nur ....' Makin hampir tarikh kepulangannya, makin rancak kenangan manis bermain di fikirannya.
Bibirnya tanpa sedar tersenyum manis.
Tok... Tok...
Bertebaran kenangan manisnya dibawa hembusan bayu dingin melalui jendela yang terbuka luas. Cuaca walaupun agak panas kebelakangan ini, namun sesekali hembusan bayu yang bertiup mendinginkan suasana. Menghalau jauh haba panas itu. Dia berpaling dan menuju ke pintu biliknya.
Sebaik sahaja pintu dibuka, terpacak tubuh sederhana milik Azrul, sahabatnya yang sama-sama berjuang menuntut ilmu di bumi anbiya ini.
"Assalamualaikum, Syam," sapa Azrul sambil menghulurkan tangan bersalaman. Mereka berpelukan seketika sebelum Hisyam mengajak Azrul masuk.
"Dah siap kemas?” soal Ustaz Azrul berbasa basi.
Hisyam angguk. "Sudah. Semuanya aku dah hantar naik kargo semalam. Kau apa cerita ni? Tiba-tiba muncul. Bukan kau ke Madinah seminggu?” Soal Hisyam. Pelik juga dengan kemunculan Azrul secara tiba-tiba ni. Baru tiga hari lepas mereka berjumpa. Kata Azrul dia nak ke Madinah seminggu.
“Tak jadi. Ada masalah keluarga sikit kena selesaikan dulu,” ujar Azrul perlahan. Anak matanya dilarikan daripada berbalas pandang. Di pandang sekitar bilik Hisyam yang hampir kosong. Yang tinggal cuma dua buah bagasi sahaja.
Dia serba salah sebenarnya. Kerana hasrat hati si adik, ditebalkan muka bertemu Hisyam lagi.
"Sebenarnya apa hajat kau datang ke mari?"Soal Hisyam setelah melihat Azrul masih lagi tidak menyatakan tujuannya datang bertandang.
Dia melihat Azrul sedikit gelisah. Melihat wajah dan tingkah laku Azrul, Hisyam tahu ada sesuatu yang ingin diluahkan. Mungkin sesuatu yang bersifat peribadi sehingga menyebabkan dia serba tidak kena. Hisyam tidak dapat meneka apa yang ingin Azrul katakan walaupun mereka telah lama bersahabat. Hubungan mereka juga telah seperti bersaudara. Susah senang dibumi asing ini sama-sama saling bantu membantu.
'Takkanlah cerita lama diulang lagi?' detik hatinya.
Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan.
Jadi bacalah perkara yang bermanfaat.
Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama.
Hidup baik-baik.
Islam itu Indah.
Membaca jambatan Ilmu.