Quantcast
Channel: Shima Rostam Book & Sandwich
Viewing all articles
Browse latest Browse all 366

Kembali ke sisi-Mu - 4

$
0
0

4

“Sudah lama Zad di sana, baliklah.”

“Di Malaysia, saya tak ada sesiapapun. Buat apa saya nak balik pak cik!” Suaranya nyaring tanda tidak menyenangi permintaan bapa saudaranya.

Encik Badrul menghela nafas. Buat sekian kalinya dia cuba memujuk Aazad kembali ke tanahair. Sudah lebih sepuluh tahun Aazad bermastautin di sana. Ketika tamat pengajian dulu, dia telah menggesa Aazad pulang ke tanahair. Namun begitu, Aazad enggan dan ingin terus menetap di sana menimba pengalaman kerja pula. Lalu diturutkan sahaja kehendaknya walaupun hatinya berat sekali. Apatah lagi melihat kehidupan Aazad yang jauh terpesong itu. Hati tuanya bimbing seandainya Aazad terus hanyut di dalam keseronokan duniawi yang tidak berpenghujung ini. Keindahan fatamorgana dunia ini amat mengasyikkan, apatah lagi dia kini berada di tanah inggeris yang mengamalkan sikap terbuka.

“Ada pak cik. Ada syarikat papa Zad yang perlu diwarisi. Baliklah. Zad perlu pikul tanggungjawab yang diamanahkan,” pujuk Encik Badrul lagi.

Helaan nafas kasar terdengar sayup-sayup di cuping telinganya, namun Encik Badrul tidak peduli.

“Saya akan balik apabila saya mahu balik pak cik. tentang syarikat itu, buatlah apa sahaja yang pak cik rasa baik. Saya serahkan pada pak cik.”

“Tak boleh! Ini warisan daripada papa Zad. Sebagai pewaris, Zad bertanggungjawab meneruskannya. Suka atau tidak Zad terpaksa uruskan. Pak cik hanya sebagai pemegang amanah. Pak cik hendak bersara dan berehat. Pak cik dah tua Zad, berapa lama lagi pak cik dapat hidup lagi. Zad perlu pulang dan uruskan segala warisan yang ditinggalkan. Ikut suka Zad uruskan macam mana. Pak cik takkan masuk campur lagi.”

“Pak cik bagi tempoh enam bulan untuk kamu balik ke mari,” Tegas Encik Badrul. Dia tidak nampak, apa perlunya Aazad berlama-lama di sana. Selebihnya dia bimbang Aazad tidak mampu kembali ke pangkal jalan lagi. Oleh sebab itu dia perlu memaksanya kembali.

Aazad di talian terdiam. Hanya hembusan nafas yang kedengaran. Susahnya memujuk anak saudaranya ini. Apa yang hebatnya London itu sehinggakan tanahair sendiri dipandang sepi.

“Pak cik rindukan kamu. Begitu juga dengan Nadia. Sudah lama dia menunggu kepulangan abang Zadnya. Bukankah kamu telah berjanji akan pulang ke sini apabila tamat belajar? Kamu berjanji dengan Nad. Sampai sekarang Nad memegang janji itu. Dia sanggup belajar di Malaysia semata-mata tidak mahu berpisah dengan abangnya lagi, tapi kamu....” Encik Badrul terhenti berkata seketika.

“Fikirlah baik-baik Aazad. Pak cik amat mengharapkan kepulangan kamu. Begitu juga dengan Nadia, Mak cik Murni,” Sambungnya lagi.

Nadia. Serta merta kenangan bersamanya terlayar di minda. Nadia yang merajuk sehingga tidak mahu menghantarnya ke lapangan terbang. Gadis kecil itulah penghiburnya suatu ketika dulu dan dia senang sekali melayan keletah manjanya. Telah lama masa berlalu, Aazad pasti Nadia kini telah menjadi seorang gadis cantik.

Aazad tahu gadis kecil itu jauh hati dengannya dan dalam masa yang sama dia tahu, Nadia akan pegang pada janji-janjinya. Dulu sebelum berangkat, Nadia melancarkan mogok. Tidak mahu bercakap dengannya. Walaupun sudah dipujuk berkali-kali, Nadia tetap tidak menghiraukannya. Sebenarnya ketika itu, dia juga tidak sanggup berpisah dengannya. Nadia dianggap adiknya sendiri. Adik yang tidak pernah dimilikinya. Menghabiskan masa bersama Nadia membuatkan hatinya terhibur. Keletah Nadia mencuit hatinya.

“Nanti Nad besar, Nad nak kahwin dengan Abang Zad. Abang jangan kahwin dengan orang lain tau,” Berkali-kali Nadia mengulang ayat yang sama. Dia tersengih dan mengusik.

“Bila Nad dah besar, abang dah jadi orang tua berubah dan tak ada gigi. Nad masih nak kahwin dengan abang lagi ke? Abang dah tak hensem dah.”

Mendengar kata-katanya, Nadia terus menarik muka. Merajuk.

Aazad tersenyum apabila teringat Nadia dengan impiannya. Adakah Nadia akan menerimanya apabila mengetahui siapa dirinya yang sebenar?

 “Kenapa?” Soal Ronny sambil menghenyakkan punggung di tepi Aazad. Asap rokok berkepul-kepul keluar dari hidung dan mulutnya hampir melemaskan Ronny.

“Awak tahu tak? Asap rokok ni boleh membunuh saya,” Tegur Ronny lagi.

“Kalau kau tak nak mati cepat, lebih baik kau jauhkan diri dari aku,” kasar balasannya. Di saat hatinya berserabut, Ronny mahu pula berikan ceramah tentang kesihatan yang berpuluh malah beratus kali didengari sejak dia berjinak-jinak menghisapnya.

Dia tahu asap rokok mengandungi 4000 jenis racun merbahaya kepada kesihatan seperti Tar, armonia, arsenik, DDT dan lain-lain lagi. Asap rokok lebih membahayakan orang yang menyedutnya berbanding yang menghisapnya. Namun dia tidak pedulikan semua itu, sekarang ini rokoklah satu-satunya benda yang dapat memberikannya ketenangan.

Ronny menarik muncung. Aazad tidak menghiraukannya. Dia tidak ada hati mahu bermesraan, memujuk rayunya. Di kala ini hatinya sedang berperang hebat. Kata dua yang diberikan oleh bapa saudaranya merangkap peguamnya bergema di dalam kepalanya sejak seminggu lepas. Jikalau diikutkan hati, dia mahu menjadi penduduk tetap di sini dan melepaskan taraf warganegaranya. Di sini dia bebas bukan seperti di Malaysia yang serba kolot dan terkongkong.

Sepuluh minita berlalu, Ronny melirik ke arah Aazad. Pemuda itu terus mendiamkan diri. Termenung jauh, bagaikan sedang berfikir sesuatu yang berat di dalam kepalanya. Membuatkan Ronny tidak jadi meneruskan rajuknya, menambahkan tekanan ke atas pemuda itu.

Sebenarnya dia tahu sebab apa Aazad susah hati. Jika diikutkan hati, dia juga sudah jemu tinggal di sini. Dia mahu kembali ke tanahair untuk selama-lamanya. Namun disebabkan oleh Aazad tidak mahu kembali ke sana, dia pendamkan hasrat tersebut. Mana mungkin dia meninggalkan cinta hatinya sendirian. Dia tidak sangggup membayangkan kehidupannya tanpa Aazad. Mereka telah lama bersama dan hampir memahami setiap bahasa tubuh masing-masing. Lagipun siapa yang sanggup tinggalkan lubuk emas ini, setiap kehendaknya dapat dipenuhi dengan hanya memetik jari. Jadi, tidak semudah itu dia melepaskan Aazad ke tangan lelaki lain sedangkan dia berhempas pulas selama bertahun-tahun menaklukinya.

Ronny menghela nafas panjang sebelum matanya melirik Aazad di sisi. Dia tahu Aazad sedang berperang di dalam hatinya. Perbualan Aazad dengan bapa saudaranya tadi dicuri dengar. Acap benar Encik Badrul menghubungi dan memujuknya supaya kembali ke tanahair.

 “Saya rasa sudah sampai masanya kita kembali ke tanahair.”

Aazad masih lagi di dalam alamnya sendiri.

“Di sini bukan negara kita. Saya pun sudah semakin rindu dengan masakan mummy.. Kenapa tidak kita kembali saja ke Malaysia?” Pujuk Ronny.

Aazad mendengus dan berdiri. Lalu membawa diri ke balkoni apartment mereka di tengah kota London. Cahaya mentari petang membuatkan dedaun yang kekuningan menunggu gugur ke bumi kelihatan keemasan. Menarik dan cantik sekali.

“Awak suka kita kembali dan kita akan terpisah. Begitu?”

“No.. jangan salah anggap. Kita tidak akan terpisah. Hanya maut dapat memisahkan kita. Di Malaysia kita tetap bersama malah boleh tinggal sekali. Kenapa awak nak susah hati sangat. Kuala Lumpur, sama dengan sini. Masyarakat Malaysia semakin berfikiran terbuka.  Lagipun saya yakin tiada siapa yang syak perhubungan kita yang sebenarnya.” Ronny memujuk.

Dari segi fizikal mereka seperti lelaki normal lain. Tiada bezanya, malah mereka dipuja oleh gadis-gadis di luar sana. Namun sayang sekali, citarasa mereka tidak pada gadis-gadis cantik itu. Sebaliknya lelaki-lelaki kacak yang mampu menggoncangkan perasaan mereka. Oleh sebab itu Ronny tidak hairan malah langsung tidak kisah apabila mereka diminati oleh gadis-gadis cantik dan seksi.

“Awak pasti ke itu yang awak mahukan?” Soal Aazad inginkan kepastian.
Sambil tersenyum Ronny mengangguk. Aazad membalas anggukan itu. Namun di dalam hatinya, pulang bererti mereka pasti berpisah lambat launnya. Pulang bererti perubahan akan berlaku.

******

”Jom” Tangan Aazad ditarik dan didorong ke pintu apartment. Minggu ini minggu terakhir mereka berada di Kota London. Jadi untuk terakhir kalinya dia mahu mereka berhibur sepuas-puasnya kerana selepas ini keindahan kehidupan malam di kota London bakal ditinggalkan.

“Edward adakan farewell party untuk kita. Tonight is our night dan kita akan berhibur sampai ke pagi,” Jelas Ronny dengan suara teruja. Dia tidak kisah, di sini dan di Kuala Lumpur baginya sama. Banyak tempat di Kuala lumpur boleh dikunjungi apabila merindui kehidupan malam di sini.

Sebut sahaja parti apa yang mahu dihadiri, dia tahu tempatnya, dia tahu mana yang best dan sesuai untuk enjoy. Semua itu di dalam kepalanya biarpun telah lama tidak pulang ke tanah air, namun bukan menghalangnya mendapatkan maklumat yang dikehendaki. Apatah lagi apabila mereka mengambil keputusan pulang menetap di tanah air. Sudah dirisik-risik dari kawan-kawannya tentang kelab- kelab eksklusif mana yang paling berbaloi dikunjungi.

Cahaya lampu suram berwarna warni dan muzik pop menyambut mereka ketika memasuki paradise clubtempat farewell parti diadakan. Mata Ronny melilau mencari kawan-kawan mereka, manakala Aazad mengikut sahaja sambil memerhati gelagat pengunjung di situ. Sebenarnya telah beberapa kali mereka berparti di situ, entah mengapa jauh di sudut hatinya, dia tidak menggemari suasana di sini. Dia lebih sukakan tempat yang lebih privacy dan eksklusif sahaja. Bersesak-sesak di sini membuatkan jiwanya semakin kacau. Sejak dulu lagi Aazad tidak suka pergi ke kelab malam, namun kerana Ronny menyukainya dia terpaksa mengikutnya.

“Mana mereka?” Soal Aazad dengan nada suara tinggi melawan bunyi muzik yang kuat.

“Sana.” Ronny menunjukkan ke arah sudut kanan di tepi kolam di tengah-tengah kelab itu. Di sana kelihatan ada empat orang lelaki kacak menanti mereka.

Hey guys.” Mereka berjabat dan berpelukan seketika. Kemudian mereka mengambil tempat masing-masing dan mengangkat tinggi gelas bir.

“Cheer...”




Viewing all articles
Browse latest Browse all 366