Quantcast
Channel: Shima Rostam Book & Sandwich
Viewing all articles
Browse latest Browse all 366

Bab 7 : Si Adik Manja Dengan Menantu Pilihan Abah

$
0
0



“Marilah masuk, aku panggil abah jap,” pelawa Thaqif. 

“Tak payahlah. Aku duduk kat depan tu je,” balas Hisyam sambil menunjukkan ke arah set meja dan kerusi simen di halaman rumah. 

Thaqif terus menghilang di balik pintu. Hanya terdengar suara Thaqif memanggil abah dan uminya. 

Hisyam mengamati sekitarnya. Tak banyak yang berubah. Laman rumah Pak Teh sejak dulu sentiasa cantik dan bersih. Mak Teh memang rajin berkebun. Mak Teh selalu memanjakan diri dengan menanam pokok bunga dan herba di sekeliling rumah. Setiap petang masanya akan dihabiskan di halaman rumah, menyiram dan mencantas pokok bunga agar subur dan cantik. 

Dahulu, di sinilah dia menemani Nur membuat kerja sekolah. Di sini juga dia menunggu Thaqif. Dia tidak jemu berada di sini. Di kelilingi dengan pokok bunga, pokok herba dan juga pokok buah-buahan. Pokok mangga telur di tepi pagar masih lagi lebat berbuah. Tetap subur seperti tujuh tahun lalu. Tujuh tahun dia tidak menjejakkan kaki ke sini namun, rumah ini sentiasa dekat di hatinya.

Dia terpempan. Sepintas lalu, mimpi yang sentiasa menjadi mainannya berulang tayang. Halaman ini dan rumah inilah yang dia lihat di dalam mimpinya. Dua orang wanita sedang berbual-bual. Ibu dan anak. Si anak ketawa dan merajuk. Kemudian memeluk ibunya. Semakin jelas mimpi yang kesamaran dulu. Semakin jelas juga wajah mereka yang hadir di dalam mimpinya. Subhanallah. Rupa-rupanya jawapan tetap sama seperti tujuh tahun lepas. Keyakinan di dalam hati semakin kukuh. Benarlah kata hati. Benarlah kata rindu. Dan benar lagi takdir Allah taala.

Terdengar pintu depan di buka. Pak Teh dan Mak Teh melangkah turun. Hisyam terus tersenyum. Di sambut kehadiran tuan rumah dengan penuh hormat. 

“Assalamuaikum Pak Teh, Mak Teh,” salam diberikan. 

“Waalaikumussalam....” jawab mereka serentak.

Mereka saling berbalas senyum. Hisyam menghulur tangan kepada Pak Teh. Sebaliknya Pak Teh memaut Hisyam ke dalam pelukannya. Ditepuk belakang Hisyam beberapa kali. Hati Pak Teh sebak, matanya berkaca. Hisyam sudah dianggap sebagai anaknya sendiri. Dia juga berbangga apabila Hisyam kembali dengan kejayaan. 

“Alhamdulillah.. Kau telah kembali. Lega hati Pak Teh. Nak jugak kau balik,” ujar Pak Teh. 

“Saya pasti kembali Pak Teh. Ini tanah tumpah darah saya. Lama mana pun saya merantau, suatu hari nanti saya tetap akan kembali,” balas Hisyam syahdu. Teremosi pula pagi-pagi ini. 

Wajah ke dua-dua mereka ditatap penuh kasih. 

“Pak Teh dan Mak Teh sihat?” 

“Sihat orang tua, Syam. Macam ni lah. Bila kamu sampai?”

“Malam tadi Pak Teh.”

“Angah cakap Pak Teh tak sihat, tu yang terus ke mari,” bicara Hisyam, prihatin.

“Siapa kata aku tak sihat? Cuba tengok? Tang mana yang tak sihatnya?” tegang suara Pak Teh menjawab. 

Hisyam tersentak. Namun dia segera senyum. Sikap Pak Teh tak pernah berubah!

“Isyyy.. abang ni pun. Kot iya pun perlahanlah sikit suara tu. Hisyam tanya je. Kata tak nak adik tahu,” pujuk Mak Teh. Faham sangat dengan sikap suaminya, baran tak kira siapa pun. Lebih-lebih lagi ketika sakit ni.

“Biasalah Syam. Bila dah tua ni mudah sangat demam. Sakit-sakit urat. Pak Teh kamu ni macam tulah. Tapi anak-anak ni terlebih bimbang,” jelas Mak Teh bagi pihak pak teh. 

Tidak lama mereka berbual, Kak Long datang menatang dulang berisi air teh panas dan juga kuih untuk sarapan pagi. 

“Jemput minum Syam. Makin hensem pulak kak long tengok kamu ni,” sapa Kak Long.

“Hensem kak long? Saya sama seperti dulu,” jawab Hisyam, segan. Beza usia mereka cuma tiga tahun sahaja. 

“Kak Long pun makin lawa. Anak berapa orang kak long?”

“Dua orang. Tidur lagi ni. Kalau tak, boleh kenal dengan diorang. Rupa Umairah sama sebijik mak usu dia masa kecil dulu,” beritahu kak long.

Keakraban adik bongsunya dengan Hisyam dulu tidak dapat dipisahkan. Sehinggakan dia cemburu dengan Hisyam. Mulut comel adiknya, asyik sebut nama abang Syam tak pernah jemu. Abang Syam cakap inilah, itulah, tak baiklah bla.. bla... Semuanya cakap abang Syam dia dengar. Tapi cakapnya asyik menjawab je kerjanya. Manalah hatinya tak cemburu. Adik bongsunya lebih dengar cakap orang lain berbanding dia. 

“Adik mana? Tak nak jumpa dengan abang dia ke?” Soal Pak Teh.

“Tadi ada dia intai di sebalik langsir tu. Bila suruh datang sini tak nak pulak. Terus menonong masuk bilik. Sambung tidur agaknya,” jelas Kak Long. 

Teringat wajah masam adik selepas mengintai ke halaman rumah tadi. Entah apa yang tak kenanya. Bukan boleh agak emosi adik yang selalu berubah-ubah. Bagaimanalah agaknya kehidupan adik di kolej sana. Agak-agak perangainya sama ketika berada di rumah ke? Sempat lagi kak long berdialog di dalam hati.

“Adik pun baru juga sampai pagi tadi. Letihlah tu. Dalam bas bukannya boleh tidur lena,” Sampuk Mak Teh.

“Minumlah Syam. Kak Long masuk ke dalam dulu. Nak kemas baju. Sekejap lagi kami nak balik dah. Abang Long masuk kerja tengahari hari ni,” beritahu Kak Long sebelum beredar.

Hisyam angguk. 

“Marah sungguh adik kat saya Pak Teh.”

“Tak ke mana marahnya tu. Lama-lama nanti sejuklah,” ujar Pak Teh.

“Mananya tak marah. Kamu ni pun satu Hisyam. Kenapa tak hantar surat? Sepucuk pun jadilah,” bebel Mak Teh. Sakit hatinya mengenangkan perbuatan Hisyam. Hati ibu mana yang tak sakit, bila anak demam rindu berminggu-minggu. Setiap hari hanya nama Hisyam yang disebutnya. 

“Ni tidak, satu pun tak ada. Telefon pun tak pernah!” 

Namun khabar berita tetap dirisik dari Khalida. Hisyam sihat-sihat sahaja di sana. Itulah yang membuatkan hatinya geram. Jauh hati mengenangkan sikap Hisyam yang lepas tangan. 

“Sudahlah. Benda dah berlalu. Buat apa nak sebut!”

“Lagipun aku yang minta Hisyam jangan berhubung dengan adik!”

Mak Teh tersentak. Dia memandang Hisyam dan suaminya silih berganti. Seperti ada sesuatu telah disembunyikan daripada pengetahuannya. 

“Nanti aku cerita. Yang penting sekarang Hisyam telah balik ke mari.”

Mak Teh merengus. Dia tidak puas hati. Sakit Nur, dia juga terasa.



Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. 
Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. 
Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama.
 Hidup baik-baik. Islam itu Indah.
 Membaca jambatan Ilmu.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 366