Quantcast
Channel: Shima Rostam Book & Sandwich
Viewing all articles
Browse latest Browse all 366

Bab 1 : Hati Yang Kau Sakiti

$
0
0



“Kita putus.. Saya dah boring dengan awak. Nak pergi tengok wayang berdua tak boleh. Keluar dating malam-malam pun tak boleh. Nak sentuh lagilah, sedepa awak lari. Macamlah saya ni ada penyakit berjangkit. Padahal sentuh sikit je pun. Bukan luak apa pun.”

Ami pandang kekasih hatinya dengan wajah tak percaya. Berkali-kali dia mengerdip mata. Betul ke dekat depan dia ni Hafiz. Orang kuat kolej yang jadi kekasihnya secara rasmi enam bulan lalu? 

“Awak dengar tak apa yang saya cakap ni?”

Tersentak Ami dibuatnya. Tiada lagi suara romantis selama ini. Yang kedengaran di telinganya suara macam guruh. Berdentum-dentum. Menyakitkan gegendang telinganya. 

“Dengar.”

“Awak tak ada nak cakap apa? Ini kali terakhir kita berjumpa.”

“Kenapa?”



“Kenapa? Eh.. telinga awak tu tersumbat dengan tahi telinga ke? Tak dengar apa yang I terangkan tadi?”

“Errrk.. Maksud saya. Kenapa tiba-tiba. Sebelum kita couple awak boleh terima syarat yang saya berikan. Awak jugak yang cakap awak nak simpan semua selepas kita kahwin nanti. Awak juga cakap nak couple secara islamik.”

Huh.. Islamik laa sangat. Aku pun bongok jugak. Mana ada istilah couple dalam islam. Tapi oleh sebab dalam hati dah macam taman bunga, aku tutup mata je terima. Sekarang.. nah padan muka!

“Sebab saya bosan dengan sikap kampung awak tu. Sikit-sikit tak boleh. Lepas tu skema sangat. Saya stress. Ada ke couple macam kita, setiap kali berdating dekat library.”

“Tapi awak jugak yang sanggup dulu.”

“Hahaha... Sebab saya ingat lepas kita couple, Saya bolehlah ubah sikap awak sikit. Biar terbuka sikit fikiran awak tu. Lagipun ketika bercinta inilah kita nak kenal hati budi masing-masing. Tapi awak ni, keras kepala.”

“Belum lagi kahwin saya dah kena ikut cakap awak. Kena ikut stail kampung awak tu. Lainlah Lisa.”

Astaga.. Ami jeling Hafiz yang berdiri di depannya. Tak sangka sempitnya pemikiran lelaki di hadapannya ini. Padahal dia pun berjiwa muda tahu. Teringin dan nak lakukan macam couple lain lakukan. Tapi pesanan ayah tersemat kemas dalam dada ni.

“Belajar elok-elok. Jangan pulak belajar benda yang tak elok. Nak couple atau nak bercinta ke apa ke yang orang muda kata sekarang ni, bawa jumpa ayah dan mak dulu. Kami takkan halang kalau dah jodoh kamu.”

“Jauh dari kami, biar pandai bawak diri. Ami tu perempuan. Perempuan yang baik adalah yang pandai menjaga maruah diri. Meletakkan harga dirinya di tempat paling atas. Tidak sewenang-wenangnya membiarkan lelaki ajnabi menyentuh sesuka hati.”

“Bungkus diri tu kemas-kemas. Biar yang berhak sahaja menerima dan menghargai permata Ami tu.”

Pesanan penuh makna ayah sebelum dia masuk belajar di sini. 

“Sebab awak dah ada Lisa lah awak berubah kan?” soal Ami perlahan. Wajahnya ditundukkan. Matanya terasa panas. 

Tapi aku tak boleh menangis di depan lelaki ini. Aku takkan sesekali tunjukkan yang aku lemah dan merana kerana perbuatan dia. Ini Amina Nabila Ruslan lah. Menangis dalam hati bukan di mata. 

“Memang betul pun.” Akui Hafiz tanpa rasa bersalah. 

“Lisa lebih baik dari awak. Dia lebih fun daripada awak yang susah sangat nak bukak mulut tu. Lagipun dengan dia saya nak pegang-pegang sikit, dia tak kisah. Tak ada banyak pantang larang macam awak ni. Malam-malam boleh keluar enjoy… pergi kelab. Pergi menari… Semua benda yang saya tak boleh buat dengan awak, saya dapat buat dengan dia. Jadi takkanlah saya nak lepaskan dia semata-mata kerana awak ni. Memang dasar perempuan kampung,” hafiz mencemuh. 

Aku sudah boring dengan Ami ni. Seolah-olah macam tak bercinta. Padahal dah enam bulan declare couple. Yang betul-betul macam couplenya, kami tak pernah buat. Jadi buat apa lagi aku nak teruskan hubungan ni. Sudahlah stress dengan study. Ada awek ingatkan boleh juga release stress di hujung minggu. Tapi lagi stress dia. Sebab cemburu dengan kawan-kawan yang lain. Mereka bercouple bahagia. Aku bercouple sengsara.

Sengsara hidup macam tak hidup.. null, tidak ada hiburan langsung. Aku cuma tahu pergi kuliah, bAalik kuliah, makan dan study. Petang-petang main bola dengan kawan-kawan. Hujung minggu pula kawan-kawan keluar berdating dengan awek. Aku pula mengadap dinding. Sebab awek aku lebih selesa berdating di library.

Tetapi sejak berkenalan dengan Lisa, dunianya terasa berseri dan berwarna warni. Lisa seorang yang menghiburkan dan tidak lokek untuk disentuh dan dipegang-pegang. Bukan macam Ami tu, jalan berjarak sedepa, pulak tu tidak boleh bertentang mata lama-lama. Sampai aku naik pelik dengan hati aku ni, macam mana boleh terpikat dulu. Mungkin kerana kelembutan wajah dan suaranya yang merdu kot.

Terpaku Ami mendengar alasan paling logik keluar dari mulut teman lelakinya. Tidak sangka inilah perkara yang penting sangat Hafiz mahu cakap. 

Apa reaksi sepatutnya aku berikan? Terasa macam terhegeh-hegeh pula aku ni. Kejam kerana menyebabkan teman lelaki sendiri menderita. 

Teruk sangat ke apa yang aku buat selama ini? Tapi bukan aku yang kejar dia. Dia yang selama ini mengekor je ke mana aku pergi. Dia juga yang mula dulu. Bila aku bagi syarat macam-macam sanggup terima. Bila hati aku dah terima. Dia buat perangai kata aku macam-macam pulak. Grrr.... 

Ami tatap muka masam Hafiz di hadapannya. Dia masih ingat lagi, sejak di tahun pertama, Hafiz sentiasa mengambil tempat di sebelahnya semasa kuliah. Hafiz selalu mencari peluang untuk mendekatinya. Kini bila namanya mula diukir di dalam hati, kuntum bunga cinta semakin mekar, dia hadiahkan pula kata putus. 

Ewah... senang-senang dia nak buat aku ya. Baik.. kalau itu yang dia nak aku boleh bagi. Jangan jilat bAalik ludah sendiri sudahlah. Aku pun tak adalah nak meraung dan merayu dia supaya tak tinggalkan aku. Aku gadis yang bermaruah tinggi tau. Lagipun aku dah tegaskan dari awal lagi, aku bukan macam gadis lain. Aku ada matlamat yang nak dicapai. Aku di sini membawa harapan keluarga. 

“Ok. Kita putus. Terima kasih kerana bercouple dengan saya. Semoga Lisa kekasih baru awak itu akan membahagiakan hati awak. Hidup awak pasti tak akan boring lagi lepas ni. Saya tak kisah,” tegas Ami berkata walaupun hatinya telah terluka.

Dia sesekali tidak ingin kelihatan lemah di hadapan lelaki ini. dia akan membuktikan tanpa cinta lelaki ini pun dia boleh hidup biasa-biasa. Boleh menjalani kehidupannya dengan sempurna tanpa cinta seorang lelaki.

“Fine.. mulai hari ini kita putus,” ucap lelaki itu dan terus meninggalkan Ami tanpa berpaling lagi.

Lama Ami berada di situ setelah pemergian Hafiz. Ditenung tasik di hadapannya. Air mata mengalir tanpa dia sedari. Laju membasahi pipinya sehingga mengaburi pandangannya. Sakitnya hati ini tidak dapat digambarkan. Dulu.. bermati-matian dia menolak huluran kasih lelaki itu, tetapi bermati-matian juga lelaki itu cuba dan terus mencuba. Sehinggalah hatinya sedikit demi sedikit terbuka untuknya. Mengapa setelah bunga mekar di hati, dia melangkah pergi. Kasih dan cintanya selama ini tidak cukupkah untuk mengikat hatinya setia pada dirinya?



Begitu mudah kasih seorang lelaki beralih arah setelah berjumpa dengan gadis yang cantik dan sexy. Murah sangatkah nilai cintanya sehingga begitu mudah dia memutuskan pertAalian kasih ini? Ami menarik nafas panjang. Dia tidak menyangka, saat hati mula menyayangi lelaki itu, dia ditinggalkan. Sikapnya, nama saja baik, rupanya hanya topeng semata-mata untuk mengelabui mata hatinya supaya tunduk dengan godaan hati untuk berkasih sayang.

Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 366

Trending Articles