Quantcast
Channel: Shima Rostam Book & Sandwich
Viewing all articles
Browse latest Browse all 366

Bab 18 : HaTI Yang Kau Sakiti

$
0
0


“Kenapa tiba-tiba minta achik balik?” Baru minggu lepas dia balik Puncak Alam. Kebiasaannya setiap dua minggu, kalau tak sibuk dengan aktiviti kolej dia akan pulang ke rumah keluarganya.

“Minggu depan achik ada kuiz berderet,” keluhnya pula. Dia baring di sofa panjang tanpa membuka tudung. Penat berkejar komuter tadi. Dia hampir pengsan, lemas dengan segala bau dalam bas menuju ke komuter tadi. Kemudian hampir ditinggalkan. Nasib baik kakinya masih lagi pantas berlari, sempatlah dia pecut masuk sebelum pintu ditutup.

“Ada mesyuarat keluarga,” beritahu acu. Matanya tak beralih langsung melihat televisyen. Suka sangat layan sinetron Indonesia tu. Dia pula, tak suka. Cerita meleret-leret sampai beratus episod. Tak larat nak dera hati apabila tidak dapat ikut setiap hari.

“Pasal apa?”

Acu angkat bahu. “Entah. Mungkin pasal along kot.”

“Along? Nak pergi meminang?”

“Mana acu tahu. tunggulah malam nanti,” balas acu, bosan. Kacau orang tengok ceritalah.
Ami pandang adiknya, ditarik rambut yang diikat ekor kuda itu.

“Sakitlah!”

Achik sengih. Suka bila dapat mengusik acu.

“Along dan angah mana? Tak balik lagi?” soal achik lagi.

Acu jeling achik.

“Kacaulah!” dengus acu.

“Nampak ke tak kereta mereka kat luar tu? Tak nampak kan? Maknanya mereka tak sampai lagilah. Itu pun orang kena cakap ke?” gerutu acu. Geram.

Achik sengih.

“Sengaja nak dengar suara acu yang lemak merdu tu. Tengok sinetron tak habis-habis. Tak bosan ke dik?” ‘Aku yang tengok ni pun stress. Berbelit-belit jalan ceritanya. Nasib pelakonnya cantik – cantik dan kacak.’

“Suka hatilah. Tak suka tengok pergi jauh-jauh!” marah acu.

“Achik, jangan nak baring terus situ. Pergi masuk bilik,” sergah Puan Habsah apabila melihat mata achik hampir tertutup.

Terbuka luas mata achik apabila dengar suara maknya. Kemudian tertutup semula.

“Kejap lagilah mak. Achik penat ni. Lima minit,” achik minta tangguh.

“Lima minit achik tu boleh jadi lima puluh minit. Bangunlah. Lepas ni masak untuk makan malam. Mak dah siap perapkan ayam dan masak nasi. Achik buat ayam masak merah, sayur campur dan telur dadar. Cukuplah untuk makan malam ni.”

“Hmmm...” balas achik. Suara mak dah tenggelam timbul dipendengarannya. Dia semakin hanyut dibawa arus mimpi.

Pap..

Pap.. tepukan kuat dipahanya membuatkan achik tersentak.

“Bangun! Kalau tak mak simbah dengan air ni,” acah Puan Habsah dengan menunjukkan gelas kaca ditangannya.

Achik terus terbangun. Matanya terbuka luas tapi kelat pedih. Mulut ternganga luas, menguap. Nak tak nak terpaksa bangun juga. Nanti tak ada pasal, cari pasal kena mandi di tengah ruang tamu ni.

“Padan muka!” ejek acu.

Geram diejek, achik tarik rambut acu kuat sebelum dia berlari masuk ke dalam bilik.

“Achiiikkk!”

Hahaha... Achik gelak kuat. Padan muka!

*****

“Nak bincang pasal apa?” risik achik. Dia berdiri rapat dengan angah yang sedang basuh pinggan. Malam ni giliran angah kemas dan cuci pinggan selepas makan. Mak tidak pernah membezakan layanan terhadap anak-anak lelaki dan perempuannya. Setiap orang wajib buat kerja rumah mengikut giliran. Jadi memang bertuahlah sesiapa yang jadi isteri along dan angah, sebab mereka berdua pandai kemas rumah dan memasak juga.  

“Mana angah tahu. Cuba tanya along?”

“Along?” Achik kalih pandang kepada along yang sedang buka pintu peti ais. Nak ambil jus yang dia sediakan petang tadi.

“Kejap lagi achik tahulah.” Sengih along. Tak berani nak pandang lama adik perempuannya ini sebab terselit rasa bersalah. Kerana masalahnya, achik bakal terlibat sama.

“Alaa.. itu pun nak berahsia ke?” cemik achik, tak puashati. Bila melihat reaksi along, dia tahu mesti mesyuarat keluarga ini ada kena mengena juga dengan dirinya. Hatinya semakin berdebar kuat. Dia pandang angah tajam setelah along berlalu ke ruang tamu.

“Masalahnya angah pun tak tahu,” jawab angah. Dia pun pelik sebenarnya. Kalau nak bincang pasal along, mereka semua suka dengan pilihan along tu. Bukannya jauh mana pun kalau nak pergi meminang, jadi bila-bila masa sahaja tidak ada masalah.

Mereka duduk santai di depan televisyen. Tayangan drama di skrin televisyen tidak diendahkan. Masing-masing bersedia menadah telinga mendengar apa yang mak dan ayah ingin katakan.

“Begini...” Encik Ruslan pandang wajah anak-anaknya di hadapannya. Masing-masing menunggu kata-kata seterusnya. Dia pandang achik yang duduk bersimpuh di bawah sambil tongkat dagu di sofa.

“Along kamu nak kahwin hujung tahun ni. Tapi ada masalah sikit dengan keluarga sebelah sana, mama si Ain tu mahu abang Ain kahwin dulu, barulah dia benarkan Ain kahwin.”

Mereka semua angguk. Menunggu lagi kata-kata seterusnya. Ayah pandang lama wajah achik. Achik berkerut dahi. Lama sangat ayah memandangnya.

“Kenapa ayah?” achik dah mula tak sedap hati. Masalah along bukan masalah dia. Tapi kenapa dia pula terasa bermasalah apabila ayah dan mak silih berganti pandangnya.

“Masa Ain datang rumah kita hari itu, dia ada ambil gambar kita sekeluarga. Ditunjukkan kepada mama dan abang dia tu. Dan...” Puan Habsah pandang anak perempuan sulungnya.

“Kenapa mak? Jangan kata dia tersuka kat achik pulak,” serkap achik.

Puan Habsah, Encik Ruslan dan along angguk.

“TAK NAK!” pantas achik menjawab.

“Achik tak nak kahwin lagi. Achikkan belum habis belajar lagi,” kendur suaranya apabila melihat wajah garang ayahnya. Pantang ayah apabila anaknya tinggikan suara apabila bercakap.

“Mak!”

“Mak dah lihat gambar abang Ain tu, kacak tinggi. Memang taste achik dah,” umpan Puan Habsah.
Achik mendengus. Dia geleng kepala. Duduknya dah kembali tegak. Saat perkataan kahwin dan nikah cuba dihapuskan dari kamus hidupnya, ini pula yang jadi. Ami resah. Dia yakin sangat, siapa pun bakal suaminya, tidak akan mampu terima gadis yang bukan gadis lagi ni. Jadi lebih baik dia menolak awal-awal daripada ditinggalkan sebelum habisnya bulan madu. Ami tunduk mencari kata. Kemudian dia berpaling memandang along.

“Along.. tolonglah. Suruhlah bakal abang ipar along tu cari perempuan lain. Takkanlah tak ada teman wanita lagi. Kalau mak cakap dia tu kacak tinggi, mesti perempuan keliling pinggang. Kenapa nak sibuk pilih achik pulak,”

“Dia baru kecewa achik. Lagipun bukan Ain yang cadangkan achik. Dia sendiri yang cakap kalau nak dia kahwin cepat, dia nak kahwin dengan achik,” jelas along. Dia pun tak sangka abang Ain mahukan achik. Tapi jika ini caranya mempercepatkan pernikahannya, dia akan pujuk achik supaya terima lamaran ini.

“Poyolah mamat tu. Tak pasal petik nama achik,” achik ketap bibir. Sebal dan sakit hati.

“Achik!” tegur ayah. Tegas suaranya. Dia tak suka anak-anaknya gunakan perkataan kesat.

“Ayah, mak.. achik tak nak kahwin lagi. Belajar pun tak habis lagi ni. Sekurang-kurang tunggulah achik habis belajar dulu. Lepaskan along kahwin dulu.”

“Mak tolonglah pujuk bakal besan mak tu. Bertolak ansurlah sikit. Takkan tak nak anak kahwin kot,” rayu achik lagi.

Puan Habsah geleng kepala. Kalau ikutkan hatinya, dia pun berat hati nak benarkan achik kahwin dulu. Tapi salah satu keluarga kena beralah. Jika tidak, tak kahwinlah anak-anak mereka nanti.

“Mak rasa, abang Ain tu pilihan terbaik achik. Dekat dengan mak ayah. Nanti satu keluarga dengan along,” ujar Puan Habsah.

“Kalau iya pun, tak boleh ke tunggu lepas achik habis belajar. Berkawan dulu, kalau serasi baru bincang pasal kahwin,” achik memberi cadangan. Dia pandang wajah mak dan ayah mengharapkan simpati.

“Lama mana pulak tu? Berapa lama angah kena tunggu ni? Angah tak kira tahun depan giliran angah kahwin!” celah angah. Dia tak mampu nak tangguhkan hasrat hati lagi. Lagipun bakal mak mertuanya pun dah sibuk menanya bila nak masuk meminang Maryam.

“Along pun tak dapat nak tunggu lama lagi dah achik. Takut cerita lama berulang lagi. Along dah serik bercinta bertahun-tahun, akhirnya tak jadi,” kata along pula.

Achik terdiam. Simpati menyesak dadanya. Tapi dia lebih kasihan dengan dirinya sendiri. “Achik tak kenal pun abang kak Ain tu, along ingat sekarang ni macam zaman dulu-dulu ke, boleh bahagia bercinta selepas kahwin ni?” Ada sebak membekam di dalam dadanya.

Tak boleh ke along dan angah bertolak ansur sikit. Kenapa dia pula kena jadi penyelesai masalah mereka? Kena kahwin dengan lelaki yang langsung tak kenal.

“Abang Am tu pilihan terbaik untuk achik. Along yakin achik akan hidup bahagia nanti,” pujuk along.

Achik jeling along. Bila nak pujuk semuanya cakap yang baik-baik. Kalau bermasalah nanti, yang kena tanggungnya dia.  

“Mak yakin achik akan bahagia. Mak akan sentiasa doakan achik, along, angah dan acu hidup bahagia bersama pasangan nanti. Achik kena fikir positif.”

“Ayah?” dia cuba tarik perhatian ayahnya pula. Walaupun ayah tak banyak cakap tapi biasanya ayahlah paling memahami isi hatinya.

“Ayah pun bersetuju dengan jodoh ini, achik. Umur achik pun dah 23 tahun. Tahun depan dah habis belajar. Ataupun achik dah ada kawan lelaki?” soal Encik Ruslan berdiplomasi.

Achik geleng kepala. Teringatkan Hafiz. Lelaki itu dah terkeluar dari menjadi lelaki pilihannya. Teringat pula lelaki itu, hmmm.. tak mahu dia berlakikan lelaki yang menjadi makluk perosaknya. Apa lagi pilihan yang dia ada selain terpaksa terima.

Dia pandang wajah berharap along dan angah. Dia pandang wajah kasih mak dan wajah tenang ayah. Acu disebelah genggam tangannya. Wajah itu nampak bersimpati dengan nasibnya. Tanpa sedar air matanya mengalir. Pedih.

“Achik terima. Tapi kalau berlaku sesuatu dalam perkahwinan achik ni jangan tanya apa-apa. Jangan salahkan achik. Sebab achik terima kerana along dan angah yang tak sabar nak kahwin!” Dia bingkas berdiri dan berlalu ke biliknya. Tak guna berada lama di situ.






Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 366

Trending Articles