3
“Kalau aku, terus bagi sedas di situ jugak. Biar dia tahu tinggi rendahnya langit!”
“Tak sangka Rizal tu jenis perasan!” Getus Zafira geram. Penuh emosi.
Baizura menggigit bibir. Terluah pada Zafira, membuatkan hatinya lega sedikit. Tapi terasa bersalah pulak. Seolah-olah dia pula termengumpat Rizal tu.
Okey, panggilan encik dihadapan telah dibuang, tandanya dia sudah hilang hormat pada mamat tu. Semalam tak dapat tidur. Whatapps dia pun tak dibalas. Nanti kang tertunjuk emosinya lagi parah. Si dia pulak sensitif sikit, pantang sungguh jika balasannya berbau luahan perasaan sikit, pasti akan terus telefon untuk menyelidik. Jadi, tak nak cari pasal, okey.
“Siap dia kalau jumpa nanti. Tahulah aku ajar orang sebegitu.”
“Kau nak buat apa? Berperang mulut dengan dia? Hello, dia tu peguam. Kau takkan menanglah!”
“At least biar dia tahu kau bukan nak goda dia. Kau bukan penggoda. Dia tu yang perasan!”
“Harap muka je hensem tapi attitude hancur!”
Baizura terdiam. Meruap sungguh kemarahan Zafira kala ini. Macamlah dia pula yang terkena. Baizura tunduk sambil menggenggam tangan. Dia tak pandai hendak mempertahankan diri, apatah lagi membalas setiap kata orang yang mengata. Dari dulu, dia lebih suka menjauhkan diri dari orang yang dia tak suka atau orang yang suka sangat ambil tahu halnya. Dia bukanlah alim atau baik sangat. Tapi dia tidak diajar untuk membalas setiap kutukan dan cacian orang.
Ibu sentiasa berpesan. Jangan balas apa orang kata. Marah atau terasa sangat pun jangan sesekali melawan mulut tapi melawanlah dengan hati. Berdoalah pada Allah s.w.t. Biar DIA yang membalas setiap perbuatan orang terhadap kita. Jangan sesekali biarkan emosi menguasai diri sehingga bermusuhan. Diam itu lebih baik. Dosa mereka dapat, biar pahala yang kita kutip. Dan dia sentiasa ingat apa yang ibu pesan. Jadi sebab itulah dia lebih senang berdiam diri. Tapi hari ini terluah pula pada Zafira. Itu pun setelah minah ni asyik mendesak dan bertanya kenapa nampak tak semangat dan terlalu emosional. Sampaikan budak praktikal pun terkena tempiasnya.
Maka, terjadilah sesi luah perasaan ini.
“Yang kau lembap sangat ni, apahal. Lainkali jangan teragak-agak pertahankan diri sendiri,” leter Zafira lagi. Dia benar-benar tidak puas hati, terasa seolah-olah dia yang terkena.
Baizura mengeluh. Ada empat orang lelaki sedang berbual semalam termasuk Rizal. Jika dia tiba-tiba main terjah dan mempertahankan dirinya dari terus dikata, bukan ke sengaja cari nahas memalukan diri sendiri? Lagipun dia bukannya berani dan petah berbicara. Apatah lagi bila berdepan dengan empat orang lelaki. Rasanya saat itu juga, lidahnya kelu dan tak pasal-pasal dia jadi patung cendana. Haaa... lagi rancaklah si Rizal mengata!
“Kau ni kan, aku cuma luahkan perasaan je, bukannya nak dengar kau berleter.” Muncung mulut Baizura, tidak puas hati dengan sikap keterlaluan yang ditunjukkan oleh Zafira.
Zafira mendengus kuat. Ditepuk lengan Baizura sekuatnya.
“Geram aku dengan sikap kau ni!”
“Sakitlah!” berkerut muka Baizura menahan sakit. Tempat terkena tamparan tadi digosok-gosok. Zafira mendengus, wajahnya merah menahan geram.
“Hehehe... jangan laa marah. Tak cantik pulalah kau hari ni. Aku dah okey ni!” Pujuk Baizura.
“Lega bila luahkan pada kau. Kau pulak janganlah emosi sangat. Biar Allah yang balas perbuatan Si Rizal tu.”
Zafira menjeling. Masih lagi tidak puas hati dengan kata-kata Baizura itu.
“Jika aku balas apa yang dia buat kat aku, aku dan dia lebih kurang samalah. Dari aku dapat pahala, dapat pulak dosa. Buat rugi je.”
Zafira terdiam. Masuk akal juga apa yang dikatakannya.
“Tapi... Rizal tu tak boleh dibiarkan. Buatnya dia sebar fitnah tu pada orang lain. Kau jugak yang malu nanti,” Zafira masih lagi berkeras.
Hurmmm... takut juga Baizura memikirkannya. Yelaa mulut orang ni suka sangat menjaja cerita tak kiralah betul ke tak betul. Bagaimana nanti perkara ini sampai ke telinga bos atau client lain. Tak ke maruahnya tercalar? Gerun dia memikirkannya. Dia bukan seperti yang disangka, buat apa nak kesahkan? Tapi... buruklah namanya. Nanti ada pula client mengambil kesempatan. Bukan ke itu lagi menakutkan!
“Apa kata kau tanya pendapat dia? Bagaimana nak saman orang yang sebar fitnah ni? Apa hukumannya?”
“Kau ni... aku bukan artis atau somebody lah nak saman menyaman ni. Tak ada masa dia nak layan perkara remeh macam ni!” naik senoktaf nada suara Baizura. Cari pasal.
“Kau ni belum tanya belum tahukan? Bukannya aku tak tahu, Si Dia kau tu sangat-sangatlah ambil berat pasal kau. Tak adanya dia anggap benda ni remeh temeh. Setiap apa yang berlaku ke atas kau, semuanya kes berat.”
Baizura mencebik. Lagilah dia tak ingin Si Dia tahu. Silap hari bulan kena paksa rela menurut segala cakapnya. Silap haribulan lagi, berperang besar pulak dengan si Dia tu. Lagipun Si Dia bukannya boleh jangka apa tindakan yang akan diambilnya.
“Tak nak aku cari pasal!”
Zafira gigit bibir. Si Zura ni memang tak pandai ambil kesempatanlah. Masa orang tengah sayanglah, kena minta apa saja. Mesti dia sukarela buat.
“Entah-entah Si Dia yang selalu kau cerita tu, hanya rekaan kau. Dia tak wujud pun,” provok Zafira.
Dia tak pernah jumpa dengan Si Dia yang selalu Baizura cerita. Tak banyak yang diceritakannya, tapi dia dapat rasa Si Dia tu orang yang bertakhta dalam hati Baizura walaupun Baizura selalu menafikannya. Dia hanya mendengar Baizura bercerita dan kadangkala melihat Baizura ralit melayan telefonnya.
Bulat mata Baizura mendengarnya. Zafira sengih. Suis Baizura baru menyala okey.
“Habis tu kek, bunga yang aku selalu dapat tu dari siapa?” Bengang juga dia apabila dipersoalkan tentang kewujudan dia.
“Client bagi. Yelaa macam Si Rizal kata tu, kau kan penggoda... Hahaha” Zafira ketawa.
Aauw...
“Sakitlah weh!”
“Padan muka. Mengata aku lagi, ini habuannya.”
“Habis tu yang kau susah sangat nak mengadu kat dia apa hal?”
“Bagitahu dia, biar dia tahu ada orang sebar fitnah pasal kau. Atau...” Zafira terhenti sejenak, baru dia terfikir.
“Atau... kau takut Si Dia percaya fitnah yang Rizal sebarkan. Sebab itulah kau tak nak bagitahu dia?”
Baizura geleng kepala. Zafira ni, fikir macam-macamlah.
Dia angkat bahu. Malas dah hendak bersoal jawab dengan Zafira ni. Makin melalut pulak dia. Ingat aku kenal Si dia ni, sebulan dua ke? Sudah lebih tujuh tahun mereka berkenalan. Semasa aku lepas SPM okey. Jadinya dia memang dah tahu perangai aku macam mana. Tak adanya dia nak percaya fitnah tak masuk akal Rizal tu. Cakap dengan Zafira pun bukan dia faham. Nanti pelbagai teori pulak yang keluar.
Sony Xperia nya bergetar.
Panjang umur Si dia. Pasti Si dia mencarinya setelah semalaman aku mendiamkan diri, bisik hati kecil Baizura.
“Panjang umur Si dia. Kita dok sebut-sebut, dia dah call aku.”
Zafira cebik bibir.
“Itulah yang dinamakan chemistry. Dia dapat rasa hati dan mulut kau sedang sebut-sebut pasal dia tadi.”
“Mengarutlah! Dia call sebab whatapps dan panggilan dia, aku tak jawab semalam.” Sengih Baizura.
“Giler teruk kau ni! Mesti Si dia tengah risaukan kau!”
“Lagi giler kalau aku balas dan jawab whatapps semalam. Entah-entah Si Dia tiba-tiba muncul pejabat pagi ni.”
“Eloklah. Boleh aku berkenalan dengan dia.”
“Lepas aku kahwin dengan dia, kau boleh kenal.” Haa hati kata tak mahu, elok-elok mulut tersebut kahwin. Tak ngam sungguh hati dan mulut ni.
“Mengaku jugak, kau suka kat dia.”
“Takutlah tu, aku sambar dia.”
“Tak ada maknanya.”
Panggilan pertama tidak jawab. Lagu Hafiz Af kedengaran lagi buat kali ke dua. Zafira bangun dan beredar untuk memberi ruang kepadanya menjawab telefon.
Salam dijawab perlahan.
“Okey hari ni? Kenapa tak balas semalam.” Si Dia mula menyoal.
“Tertidur awal, penat. Sorry...”
“Hurmm... ada apa-apa perkara yang Zura nak kongsi dengan saya?”
Macam tahu-tahu je Si Dia ni, aku tengah susah hati.
“Tak ada. Saya okey je kat sini.”
Si dia di talian terdiam.
“Zura... jika ada masalah jangan rahsiakan dari saya. Saya sentiasa ada untuk Zura. Jangan pendam sorang-sorang.”
“Laa... betullah tak ada. Saya baik-baik je. Awak dengar suara sayakan? Suara orang ada masalah ke?” Berdebar juga hatinya. Manalah tahu fitnah tersebut telah tersebar jauh sampai ke Kuala Lumpur.
“Hurmm kalau begitu, okey then.”
“Okey.”
Salam dijawab. Talian diputuskan.
Baizura termenung seketika.
Ada teka teki bermain difikirannya.