5
“Bila sampai?” Soal Rizal sambil berjabat tangan.
Dia baru sahaja selesai kes di Mahkamah tinggi, dapat panggilan partnernya dari KL ada di sini. Terus dia memecut laju.
“Tengahari tadi.” Jawab Zamri.
Aizat masih leka membelek Samsung Note miliknya.
Razlan dan Azman juga baru tiba. Pelayan datang mengambil pesanan. Tidak ramai orang berada di dalam restoran Sri Suria ini.
“Kes macam mana? Okey?”
Ibu jari dinaikkan.
“Tiada masalah, Aku yakin tujuh puluh peratus kita akan menang kes ini.” Jelas Rizal.
Aizat dan Zamri angguk.
Aizat, Zamri, Nik Rizal & Co merupakan firma guaman milik mereka. Mereka mempunyai tiga cawangan. Satu di Kajang yang diterajui oleh Zamri, Damansara dipegang oleh Aizat dan Kuantan diuruskan oleh Nik Rizal. Di antara ketiga-tiga cawangan ini, cawangan yang diuruskan oleh Aizatlah yang memberikan keuntungan yang besar. Lagi pun siapa yang tidak kenal dengan peguam berkaliber Aizat Ahmad ini. Setiap kes yang dikendalikannya tidak pernah mengecewakan. Dia menjadi pilihan syarikat-syarikat besar sebagai consultant undang-undang mereka.
Manakala cawangan di Kuantan sebenarnya baru dibuka. Nik Rizal baru dua tahun partner firma ini. Tetapi mereka telah kenal sejak zaman belajar di universiti lagi. Nik Rizal merupakan junior Aizat dan Zamri. Manakala Azman dan Razlan pula rakan serumah mereka ketika menuntut di universiti yang sama. Hubungan rapat ketika di universiti terjalin sehingga kini.
“Ada kes ke? Tiba-tiba muncul di sini?” Soal Rizal selepas menyedut minumannya.
“Tak ada. Saja ambil cuti, lagipun telah lama kita tak berkumpul macam ni. Ajak korang turun KL, semuany sibuk memanjang.” Sindir Aizat. Matanya masih lagi leka menatap skrin telefon pintarnya.
Nik Rizal, Azman dan Razlan tersengih. Terkena.
“Korang pun sama jugak. Ajak turun sini, tak ada masa. Sibuk!” Balas Azman.
Mereka bertukar-tukar perkembangan masing-masing. Dalam kerancakan berbual, Azman terpandang gadis yang pernah dikata oleh Rizal dulu. Dia tidak pernah lupa rupa gadis tersebut kerana yakin Zamri dan Aizat mengenalinya.
“Rizal, tu bukan gadis yang kau kata goda kau dulu ke?” Soal Azman sengaja menarik perhatian rakan-rakannya. Lagipun dia ragu-ragu sama ada gadis tersebut dikenali oleh Zamri dan Aizat. Jadi peluang sebegini tidak boleh dilepaskan. Lagipun dia tidak percaya gadis tersebut ada niat hendak menggoda Rizal. Lima pasang mata tertumpu kepada gadis tersebut.
Hampir tersembur air yang disedang diminum Zamri. Dia terbatuk-batuk. Merah mukanya. Terkejut setelah melihat gadis tersebut. Cepat-cepat ditarik tisu di atas meja mengesat mulut dan bajunya yang basah.
Mata Aizat pula tajam melihat gadis tersebut yang sedang berjalan beriringan dengan dua orang lelaki dalam lingkungan empat puluhan. Nampak gayanya mereka baru sahaja selesai berbincang. Salah seorang dari lelaki tersebut berkata sesuatu kepada gadis. Tidak lama kemudian lelaki tersebut bersalaman dan beredar menuju ke tempat parking. Manakala gadis menuju arah mereka. Barangkali mahu ke lobi hotel.
“Betullah. Kan betul apa yang aku cakap pada kau hari tu.”
“Apa yang betulnya bro? Biasa je aku tengok.” Soal Azman hairan. Mereka baru selesai berurusan. Gadis itu pula jalan pun berjarak walaupun seiringan. Tak ada yang peliknya, jauh sekali bersikap mengada atau menggoda. Pakaiannya pun formal. Bukan macam tunang Si Rizal ni, pakai tudung tapi etika berpakaian tidak kena langsung.
Zamri dan Aizat tidak mengulas. Masing-masing diam memerhati.
Manakala Baizura pula mula menyedari kehadiran Rizal bersama kawan-kawannya di situ. Hatinya berdebar semacam. Dia dapat merasakan mereka sedang memerhati langkahnya. Dia mula rasa langkahnya tempang. Ingin berjalan cepat-cepat, nampak sangat kurang sopannya. Jadi dia cuba mengawal langkahnya agar kelihatan biasa. Melintasi mereka, dia memandang dengan hujung mata.
Dua pasang mata saling bertaut. Pantas ditundukkan. Wajahnya pucat.
Si Dia ada di sini?
Aduss... Masalah sudah datang. Patutlah telefon sejak tadi bergetar. Mesti banyak whatapps yang telah diterimanya. Ketika berbincang dengan client tadi, telefonnya sengaja diletakkan dalam mode getaran.
Bila pula Si Dia datang? Tak ada pun cakap apa-apa semalam.
Hesy... bukannya kau tak tahu Zura, dia pun sibuk macam kau jugak. Dan suka muncul secara tiba-tiba.
Jadinya weekend ini, dia pasti berteman. Tak boleh hendak mengelak dah.
Hatinya mengeluh. Suka ke tak suka?
“Kau, bila buat tuduhan tu, tengok perwatakan orang tu. Sesuai ke dengan tuduhan yang kau lemparkan itu.” Datar suara Zamri berkata.
“Jika kau tuduh tunang kau tu cuba menggoda aku ni, awal-awal lagi aku percaya. Tapi kau tuduh budak pakai tudung, berbaju kurung tu cuba goda? Otak dan mata kau letak kat mana?” Suara Zamri tegang. Ada rasa tidak puas hati terluah di situ.
“Jangan main tuduh ikut perasaan, bro. Kelak makan diri. Bukan ke kerja kita ni bukti yang bercakap, bukan emosi?” Sela Aizat pula.
“Hey! Aku cakap betullah. Aku pernah berurusan dengan dia. Cara dia pandang dan cakap dengan aku pun, aku tahu dia sengaja nak goda aku.” Rizal tetap mempertahankan tuduhan tersebut. Dia benci melihat wajah perempuan itu. Sebab sejak kali terakhir mereka terjumpa, wajah itu sering mengganggunya.
Agaknya dia telah terkena ubat guna-guna si perempuan tadi kot?
Aizat geleng kepala.
“Aku naik atas dulu.” Aizat bangun dan berlalu.
Dia malas melayan cerita tidak berfaedah seperti ini. Pergi gym lebih baik. Lagi lama berada di situ, semakin menipis benteng kesabarannya. Dulu pun mereka hampir bertumbuk kerana dia tidak suka dengan sikap Rizal. Disebabkan mulut Rizal, Aina junior mereka hampir mati kerana terlalu tertekan dengan cerita yang dijaja Rizal. Rizal menuduhnya cuba memerangkapnya. Logik ke tidak gadis selembut Aina cuba memerangkap Rizal dan menggodanya. Sedangkan Aina telah bertunang dan telah pun mengedar kad jemputan perkahwinannya.
Rizal tidak pernah serik. Tak pernah berubah. Selalu perasan orang cuba menggodanya.
Zamri geleng kepala.
“Penyakit perasan kau tak pernah hilangkan? Sejak dulu... bawalah berubah Rizal. Aku ni yang lebih hensem dari kau, tak pernah pun perasan macam kau.”
“Aizat tu haa... Jika ikutkan berderet perempuan beratur nakkan dia. Macam-macam cara yang mereka buat hendak menggodanya. Tapi tak ada pulak perasan macam kau.”
Rizal terdiam. Azman dah Razlan hanya mendengar tanpa sebarang kata.
“Jangan kerana fitnah kau tu, menjatuhkan maruah orang lain. Gadis tu nampak seperti gadis baik-baik. Jangan kerana mulut kau, dia dapat malu. Dapat susah. Aku rasa baik kau kenal dulu siapa dia sebelum kau terus tuduh dia goda kau.” Nasihat Zamri lagi.
“Gadis itu, Baizura kan?” Zamri pecah rahsia.
Rizal terkejut.
“Kau kenal dia?”
“Dia sekampung dengan aku. Aku kenal hati budinya. Kami membesar bersama-sama.” Jelas Zamri.
“Untuk pengetahuan kau. Tak lama lagi dia dah nak kahwin. Orangnya jauh lebih kacak dari kau! Lebih kaya. Ada pangkat datuk lagi.”
“Hah... betullah aku cakap Man. Berjaya juga dia goda orang poket tebal ni. Woow.. tak sangka dato.”
Tangan Zamri terus naik mengetuk kepala Rizal.
“Sebelum kau tuduh orang tuh. Dengar cakap aku biar habis dulu.” Zamri ketap bibir. Nasib baik Aizat telah naik ke bilik. Jika tidak, kenyang dengan penumbuklah Rizal petang ni.
“Dia telah kenal bakal suami dia tujuh tahun lepas. Cuba kau cakap bila masa dia goda?”
Rizal terdiam, hilang kata.
“Jangan kau tuduh budak tu lagi. lebih-lebih lagi depan Aizat. Itupun kalau kau tak nak rasa penumbuk dia.”
Psst : Agak2 siapakah SI DIA yang sebenarnya?