“Kau nak pergi mana?” soal Syida apabila sampai ke bilik, Ami tengah kemaskan barang-barangnya.
“Aku tumpang bilik Wawa seminggu dua ni,” jawab Ami tanpa melihat Syida.
Syida terdiam. Dia pandang wajah Ami. Memang dia yang bersalah. Dia yang ikut kepala giler Aali.
“Aku minta maaf, Ami..”
Terhenti tangan Ami yang lincah melipat pakaian dan disumbat ke dalam begnya.
“Maaf kau tidak dapat mengembalikan apa yang telah hilang!”
“Aku tahu...”bisik Syida perlahan. Menitis airmata penyesalan. Semalaman dia tak dapat tidur selepas meninggalkan Ami dan Amru di bilik hotel.
“Lepas tinggal kau dekat hotel tu, kami patah balik. Ketuk pintu sampaikan kena halau dengan security.” Syida cuba menjelaskan keadaan sebenar. Dia tidak mahu Ami membencinya. Dia tahu memang dia salah. Tapi masa tu dia ingat nak tolong Ami lupakan Hafiz. Lagipun Hafiz tu tak berbaloi untuk dicintai. Hafiz tu tak sesuai langsung dengan Ami.
Ami jeling geram. Berdecit mulutnya mahu memaki Syida, meluahkan segala yang berbekam di dalam dadanya. Tapi apa hasil yang dia akan dapat nanti? Sakit hati sendiri jugak.
“Kau rasa, bila kancil dah rela hati masuk ke kandang harimau, harimau rela hati lepaskan kancil keluar ke lepas tu?” soal Ami keras.
Syida mendiamkan diri. Dia hilang kata untuk membela diri. Perbuatan bodoh mereka telah merosakkan persahabatannya dengan Ami.
“Aku nak tenangkan fikiran. Buat masa ini aku tak boleh tengok muka korang,” beritahu Ami. Dia ketap bibirnya kuat.
“Jangan cari aku. Aku belum bodoh lagi nak buat tindakan bodoh kali ke dua,” pesan Ami. Nasib baik mereka berlainan fakulti, jadi takkan jumpa dalam seminggu dua ni.
Siap berkemas, Ami tanpa buang masa keluar dari biliknya selama belajar di UPM ini. Lepas ni dia mahu buat permohonan pertukaran bilik. Dapat bilik sorang pun tak apa. Tak dapat, dia akan cari bilik sewa di sekitar flat ikan dan Serdang nanti.
Syida tidak mampu menghalang. Lagi banyak dia cakap, lagi tinggi tahap kemarahan Ami kepadanya. Lebih baik biarkan Ami sendirian seketika. Dia sayangkan Ami. Dia sayangkan persahabatan mereka. Entahlah semalam dia gelap mata dengan rancangan spontan Aali. Dia lihat Amru mampu menjadi pengganti Hafiz. Amru dan Ami nampak macam pinang di belah dua semalam. Tanpa memikirkan akibat, dia bersetuju bersetongkol dengan mereka.
Sampai di bawah, Ami baca whatapps Wawa. Wawa pergi tapau makanan dulu. Jadi dia ambil keputusan tunggu sahaja di situ. Tanpa sedar sepasang mata memerhatikan tingkahnya.
Amru sejak dari tadi masih lagi tidak berganjak pulang. Aali dan Kirana telah keluar bersama entah ke mana. Syida pula ikut Ami naik ke bilik tadi. Dia tengok jam. Hampir sejam dia berada di bawah ini tanpa tujuan. Nak balik, hatinya tak mahu sebelum berjumpa dengan Ami terlebih dahulu. Dia mahu menjelaskan perkara yang sebenar. Dia juga mahu Ami tahu, dia akan bertanggungjawab ke atas kejadian semalam. Walaupun bukan salahnya seratus peratus.
“Ami..”
Ami angkat muka. Terus kejung tubuh melihat gerangan yang menegurnya. Tapi cuma seketika. Dia tak nak pun jumpa lelaki ini lagi. Dia mahu lelaki ini berambus dari hidup dia. Sikit pun dia tak nak ada kaitan lagi.
“Awak buat apa kat sini? Saya masih hidup lagi dan takkan buat benda bodoh lagi. Kalau itu yang awak risaukan. Awak boleh balik. Saya tak nak jumpa awak lagi,” senada tanpa perasaan. Dia pandang lurus ke depan tanpa memandang wajah lelaki itu. Benci. Lelaki hipokrit. Dalam kelab beriya-iya bagi nasihat. Kononnya bukan tempat dia di sini. Kononnya dia orang baik-baik, sebab itulah tawarkan diri nak hantar dia pulang. Tapi tengok apa dah jadi?
Amru tarik nafas. Pakaian Ami telah bertukar. Dia nampak polos dan sopan memakai t-shirt muslimah dan skirt labuh. Tudung bawal pula hanya dipinkan ke depan. Mungkin ini identiti sebenar Ami. Lama dia memandang Ami sehinggakan lupa apa yang mahu dikatakan. Memang tepat andaiannya semalam. Ami seorang gadis yang baik. Cuma langkahnya tempang dek kecawa kerana cinta.
“Awak tunggu apa lagi. Pergilah balik!” senoktaf tinggi suara Ami. Melihat lelaki ini mendiam diri dan memandang tak berkelip, dia jadi geram. Benci dengan mata gatal yang sedang tengoknya atas ke bawah. Seolah-olah membayangkan keadaannya semalam tanpa lapisan kain. Dia benci dan menyampah! Malu mengenangkan kisah semalam. Tadi dalam tren komuter dia dah habis fikir. Dia mahu melupakan segala. Natijah daripada perbuatannya akan dia tanggung sendirian tanpa melibatkan sesiapa pun. Sebab dia yang bodoh. Masuk perangkap secara sukarela.
Amru tarik nafas. Tak sangka nampak lembut tapi angin boleh tahan. Macam keras kepala.
“Saya nak cakap pasal semalam,” ujar Amru lembut. Dia duduk di depan Ami.
Ami mendengus. Dia melarikan wajahnya daripada memandang Amru di depannya. Tak faham bahasa ke mamat ni. Aku tak nak dengarlah apa yang kau nak kelentong aku lagi. Tak hingin pun!
“Saya tak nak!”
“Tak guna nak cakap pun. Benda dah jadi. Awak dah dapat apa yang awak nak. Tak puas hati lagi ke?” Ami ketap bibir. Mukanya dah berbahang. Matanya dah berkaca.
Aku benci dia! Nafasnya sesak.
Amru tarik nafas, menenangkan diri. Dia pandang Ami yang sengaja tidak mahu melihatnya.
“Saya minta maaf. Saya akan bertanggungjawab di atas apa yang berlaku,” lembut tapi tegas Amru lafazkan.
Ami ketawa sinis. Langsung tak percaya dengan cakap lelaki di hadapannya ini. Bercakap pasal tanggungjawab, lelaki ini patut bertanggungjawab sebelum benda itu berlaku. Bukan mengambil tanggungjawab selepas apa yang berlaku.
“Semalam kita, sama-sama tak sedar apa yang berlaku. Kita sama-sama dianiaya oleh kawan kita sendiri. Kita mangsa keadaan. Tapi saya tetap akan bertanggungjawab di atas perbuatan saya,” tegas Amru.
“Tak payah! Ada saya minta awak bertanggungjawab?”
Amru geleng kepala.
“Jadi, tak payahlah rela hati nak bertanggungjawab!”
Ami bingkas berdiri apabila nampak Wawa telah sampai. Dia tidak menghiraukan lelaki itu lagi. Kalau boleh secepat mungkin dia mahu beredar dari sini.
Degil.
Tapi bukanlah dia orangnya cepat mengalah sebelum berusaha.
*****
Wawa tengok lelaki yang bercakap dengan Ami sekejap tadi. Dia macam pernah nampak wajah lelaki itu di fakulti. Ingat-ingat lupa. Tapi memang ada jumpa. Ada tanda tanya besar di dalam kepalanya. Namun melihat wajah muram Ami, dikurung niat untuk bertanya. Dia pulas minyak meninggalkan kolej ke lima. Tangan Ami memegang kejap pinggangnya. Tapi pipinya basah dengan air mata.
Sampai di kolej sebelas, tanpa banyak soal, Wawa membantu Ami membawa beg pakaiannya ke bilik. Ami macam patung mengikutnya tanpa banyak cakap. Seolah-olah dia bukan dirinya. Wawa jeling Ami. Nampak kawannya itu kesat air mata di pipi. Sejak ambil di komuter tadi, air matanya tak kering-kering. Biasanya si Ami ni susah nak menangis. Bila berpisah dengan Hafiz hari tu pun, sekejap je keluar air mata. Lepas tu nampak jugak muka frust tapi tak seperti sekarang ni.
“Kau sebenarnya, kenapa?” soal Wawa akhirnya. Dia tak boleh lagi menahan diri bertanya.
“Hidup aku dah musnah, Wawa,” dalam teresak Ami memeluk Wawa. Wawa semakin ingin tahu. berdebar hatinya. Dia rasa dapat teka tapi dia tak mahu teka membabi buta.
“Maksud kau?”
“Semalam aku ikut Kirana dan Syida keluar. Sesuatu terjadi. Dan aku terjaga di bilik hotel..” Wawa dia mendengar. Dia tepuk belakang Ami memberi sokongan.
“Dengan lelaki tadi...” sambung Ami perlahan. Spontan Wawa tertolak tubuh Ami.
“Kau giler!” spontan terkeluar kata itu dari mulutnya.
Ami tersentak.
“Memang aku gilerr. Jadi giler malam tadi. Sekejap sahaja Allah balas dekat aku. Aku dah musnah. Aku dah hilang permata aku,” mengongoi Ami menuturkannya. Tangannya pukul dadanya sendiri.
Wawa terdiam. Dia pandang Ami di depan. Dia tak tahu nak pujuk macam mana. Terkejut dan tak sangka.
Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.